Gunung Pulag
adalah sebuah Gunung yang terletak di utara Kepulauan Luzon, Filipina
yang memiliki ketinggian 2922 meter, atau setara dengan 9587
kaki. Peluang merakamkan gambar menarik 360 darjah Gunung Pulag di
daerah
Baguio,Filipina menjadi idaman kaki gunung termasuk saya dan
rakan-rakan.
Namun perlu tahu, mendaki gunung Pulag ini tidak dapat memberi jaminan
bahawa kita berpeluang menikmati panorama indah karpet awan (sea of
clouds) dan hamparan padang rumput berwarna kuning keemasan di puncak
gunung kedua tertinggi di Filipina ini. Puncak Gunung Pulag
sukar dijangka kerana cuacanya berbeza setiap hari. Ia terpulang kepada nasib
dan tuah sama ada dapat menikmati pemandangan terbaik atau sebaliknya.
Ada
empat jalur/laluan ke Gunung Pulag iaitu Trail Ambangeg yang dianggap
paling mudah, Trail Akiki yang terkenal mencabar, Trail Tawangan dari
Benguet dan Trail Ambaguio dari Neiva Vizcaya. Namun trail yang popular
adalah Ambangeg dan Akiki. Bila sebut trail popular ini, anda ada
pilihan untuk memilih laluan mana berdasarkan objektif yg anda
inginkan.
Contohnya;
1.
Tujuan ingin kepuncak dan menguji kekuatan fizikal dan mental - Anda
boleh melalui Trail Akiki-Ambangeg atau Trail Akiki-Akiki mengambil masa
2 malam di gunung.
2.
Tujuan ingin ke puncak, mudah dan merasa melalui 2 trail - Anda boleh
melalui Trail Ambangeg-Akiki. Ini kerana Ambangeg lebih dekat dan mudah
untuk ke puncak dan hanya memerlukan 1 malam di campsite 3.
3.
Tujuan untuk ke puncak sahaja - Anda boleh melalui Trail
Ambangeg-Ambangeg, boleh buat daypack, tapi biasanya pendaki tetap akan
bermalam untuk melihat keindahan matahari terbenam dan juga matahari
terbit.
Kumpulan
kami telah memilih pilihan kedua iaitu melalui trail Ambangeg ketika
naik dan melalui Trail Akiki ketika turun. Ikuti perjalanan pendakian
kami...
Perjalanan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino, Manila dengan menyewa van ke bandar Baguio yang terletak di utara Luzon
dan mengambil masa kira-kira enam jam. Bandar ini memiliki pemandangan
menarik dan menjadi pusat transit bagi pendaki yang mahu ke Gunung
Pulag
Baguio juga adalah bandar pelancongan tanah tinggi yang menekankan aspek kebersihan dan mempunyai pelbagai kemudahan termasuk hotel, chalet, pusat beli belah, taman rekreasi untuk dilawati pelancong.
Tetapi kami tidak memilih untuk menginap di sini, kami hanya berhenti seketika untuk membeli stok makanan dan juga minuman. Selesai membeli, kumpulan kami meneruskan perjalanan ke Benguet yang mengambil masa lebih kurang 2 jam dari Baguio. Kami sampai di Benguet dan menginap di Homestay kira-kira pada jam 12.30 tgh malam. Satu perjalanan yang agak jauh dan memenatkan. Sebaik tiba, kami membersihkan diri, makan dan terus tidur.
Keesokan paginya sekitar jam 8:00 pagi, kami ke hospital di Bokod, Benguet untuk mendapatkan sijil kesihatan mendaki Gunung Pulag. Setiap pendaki wajib melepasi ujian kesihatan ini. Sekiranya anda mempunyai penyakit-penyakit yang berbahaya dan memberi risiko untuk berada pada suhu sejuk seperti athma dan masalah ketinggian seperti AMS, anda mungkin tidak dibenarkan meneruskan pendakian.
Selesai memperolehi sijil pengesahan tahap kesihatan, kami singgah di
pejabat Taman Negara Gunung Pulag untuk mendengar taklimat dan
melaporkan diri. Taklimat menerusi siaran video ini memakan masa sekitar
30 minit.
Kemudian kami kembali ke homestay, sarapan, packing barang
keperluan yang perlu dibawa ke gunung dan mengambil "pack lunch" yang
telah disediakan. Sekitar jam 11:00 pagi kami menaiki jeepney menuju
Ambangeg Station Ranger Babadak, Kabayan Benguet Taman Negara Gunung
Pulag.
Perjalanan ke Ranger Babadak Station mengambil masa hampir 1 jam menaiki jeepney. Saya dan rakan-rakan merancang mendaki ke Gunung Pulag ini dari Trail Ambangeg- Akiki. Kebiasaannya pendaki akan mendaki Gunung Pulag dari Trail Akiki-Ambangeg tetapi kami memilih untuk "reverse trek" kerana menyedari kemampuan kumpulan kami yang sederhana dan untuk menjimatkan masa. Mendaki dari trail Akiki-Ambangeg memerlukan 3 hari manakala dari Ambangeg-Akiki pula kami lakukan 2 hari. Ini kerana Trail Akiki yang terkenal sebagai "The Killer Trail" amat mencabar tambahan pula treknya yang pacak dan jauh. Ini menyebabkan 2 hari diperlukan untuk ke puncak jika mendaki dari Trail Akiki. Manakala melalui Trail Ambangeg, jarak Ranger Station Babadak ke puncak sekitar 8-9 kilometer dan mengambil masa sekitar 5-6 jam untuk ke Kem 3. Setelah berkenalan dengan 2 guide, seorang porter yang memikul beban barang kumpulan dan seorang tukang masak, kami bergerak santai dalam cuaca yang cerah dan udara yang nyaman.
Kami memulakan pendakian pada jam 12:45 tengahari dan sampai di Kem 1 sekitar
jam 2:00 petang. Setelah berehat seketika, kami meneruskan trekking ke
Kem 2 dan sampai di sana sekitar jam 3:30 petang. Dalam perjalanan
menuju ke Kem 2 kami disambut dengan hujan yang sederhana lebat. Guide
mencadangkan kami bermalam di Kem 2 namun kami membantah kerana masih
awal dan jarak Kem 2 ke puncak agak jauh sekitar 2 jam trekking. Setelah
persetujuan dibuat, kami melanjutkan perjalanan menuju Kem 3 seperti
yang dirancang untuk bermalam.
![]() |
Memulakan perjalanan laluan Ambangeg |
![]() |
Ambangeg Trail |
![]() |
Campsite 1 |
Dalam
perjalanan dari Campsite 2 ke campsite 3, kami terpaksa menempuh hujan
lebat dan ribut angin. Perjalanan kali ini amat mencabar kerana tiada
pokok besar, hanya pokok renek paras lutut sepanjang perjalanan. Apa yag
kami risaukan ialah sekiranya berlaku kilat/petir, kami sudah tiada
tempat berlindung dan amat merbahaya untuk kumpulan kami. Di bawah
adalah sedikit video perjalanan kami ketika dilanda hujan dan ribut
angin pada suhu 9 darjah celcius.
Kami
tiba di campsite 3 atau lebih dikenali sebagai Saddle Camp lebih kurang
pada pukul 6.00 ptg. Sementara menunggu khemah kami siap dipasang,
kami berehat di pondok campsite tersebut. Waktu itu, saya merasakan
tangan saya hampir beku. Saya memberitahu rakan-rakan saya yang saya
amat kesejukan dan amat risau sekiranya berlakunya hyperthermia.
Alhamdulillah, rakan-rakan saya telah membantu dengan berada rapat
mengelilingi saya untuk mendapatkan haba yang lebih cepat.
Waktu
itu, saya hanya terbayangkan rupa 3 orang anak saya yang tidak ber ibu
yang saya tinggalkan bersama datuknya untuk sementara. Apa yang saya
fikirkan, sekiranya apa-apa yang tidak baik berlaku pada diri saya,
anak-anak saya akan menjadi anak yatim piatu. Saya terus kuatkan
semangat dengan cuba menggerakkan jari-jari tangan dan kaki saya yang
seperti hampir membeku, dan cuba menggerakkan badan saya supaya darah
pada badan saya dapat berjalan dengan sempurna. Terima kasih tidak
terhingga kepada rakan-rakan yang membantu.
Sebaik khemah kami siap, saya terus menuju ke khemah. Saya dibantu oleh rakan-rakan untuk membuka pakaian basah saya dengan segera untuk mengelakkan dari hyperthermia. Sebaik pakaian saya ditukar, saya terus berselimut. Sekadar memberitahu, downjacket saya mempunyai kepanasan -5 darjah celcius dan sleeping beg saya mempunyai kepanasan -15 darjah celcius tetap tidak dapat melawan kesejukan ketika itu. Saya diberikan extra sleeping beg buat sementara waktu oleh rakan saya untuk menghilangkan kesejukan saya. Alhamdulillah, selepas hampir sejam, badan saya sudah merasa panas dan kembali normal. Namun cuaca tetap sejuk dibawah 10 darjah celcius.
Lebih
kurang pukul 8.00 malam, makan malam kami sudah tersedia. Guide dan
porter menghantar makanan pada setiap khemah kerana hujan masih belum
berhenti. Waktu itu, kami sudah merasa kerugian apabila gagal untuk
melihat matahari terbenam, hanya berdoa cuaca baik pada pagi esok.
Selesai makan, kami semua tidur kerana kepenatan dan kesejukan.
Keesokan paginya kami bergerak ke puncak sekitar jam 5:30 pagi. Alhamdulillah, seperti
yang diharapkan , cuaca pagi itu sungguh cerah dan yang paling menarik,
permaidani awan terbentang luas di depan mata. Saya dan kebanyakan
pendaki lain terpukau melihat panorama indah ini. Sebagaimana ia dirakam
indah di photo, indah lagi pemandangan ini di mata kami dan ianya kelihatan sangat
indah di tempat paling tinggi di Pulau Luzon ini. Ia seolah-olah ada
negeri di atas awan. Dan agak berbangga kerana buat kali pertama, saya adalah orang pertama sampai ke puncak.
Setelah puas merakam gambar dari berbagai sudut di puncak Gunung Pulag, kami bergerak turun ke Campsite 3 untuk sarapan, mengemas barang dan meneruskan perjalanan pulang melalui Trail Akiki. Setelah sarapan dan dibekalkan dengan "pack lunch" kami mula bergerak pulang sekitar jam 9:30 pagi.
![]() |
Berkemas untuk turun. |
Sasaran
masa hari ini adalah untuk sampai ke sungai eddit sebelum cuaca
gelap. Trek pulang melalui Trail Akiki ini agak jauh dan curam
menyebabkan kami terpaksa mengurangkan masa rehat. Kami perlu sampai ke
Eddit River ketika cuaca masih cerah kerana baki perjalanan
selepas Eddit River sekitar 2-3 jam dan perjalanan lebih landai.
Gambar-gambar ini adalah diantara ratusan gambar yang saya ambil ketika perjalanan turun. Kami berhenti di campsite untuk menikmati makan tengahari dan meneruskan perjalanan semula.
![]() | ||||
Ada juga yang cedera ketika menurun kawasan cerun. |
![]() |
Berhenti untuk makan tengahari. |
Kumpulan kami sampai di Eddit River lebih kurang pada pukul 4:00 petang. Kami bersyukur
apabila kumpulan terakhir sampai di sini sekitar jam 4:45 petang. Kami
berehat dan minum petang sebentar di pondok seberang Eddit River selepas
jambatan. Ini bermakna kami telah melepasi laluan paling sukar di Trail
Akiki.
Kami
kemudian meneruskan perjalanan ke pintu masuk Trail Akiki sekitar
jam 5:00 petang. Trek sedikit naik kemudiannya agak mendatar. Perjalanan
agak mendatar, saya di kumpulan terakhir agak risau kerana cuaca sudah
semakin gelap. Dalam perjalanan di lereng gunung ini, boleh pulak
terserempak dengan kawasan perkuburan orang asli. Kalau iman tak kuat,
jangan pandang yek.
Alhamdulillah,
saya kumpulan
terakhir sampai di Akiki Ranger Station Kabayan sekitar jam 7.00 malam.
Kami kemudian melanjutkan perjalanan ke homestay dengan menaiki jeepney
sekitar satu jam. Setelah sampai di Homestay, kami membersihkan diri dan
mengemas pakaian untuk pulang ke Manila. Kami berangkat pulang ke
Manila dengan menaiki 2 buah van
yang disewa. Untuk mengelak kesesakkan jalan raya, kami bertolak pada
pukul 10:00 malam dan sampai di Manila sekitar jam 3:30 pagi. Ianya
lebih baik dari kami penat melayan kesesakan jalan raya yang memakan
masa sekitar 10 jam jika bertolak waktu siang.
Di
sini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan
yang memberikan kerjasama sepenuhnya di dalam menjayakan trip ini.
Semoga bertemu di trip akan datang.
Terima Kasih Allah
Assalamualaikum...
No comments:
Post a Comment